Benarkah GLC ketepikan usahawan Melayu? |
- ARTIKEL saya bertajuk 'Ke manakah ekonomi bumiputera?' (Utusan Malaysia, 10 Disember 2013) mendapat maklum balas pelbagai pihak. Ada antaranya rakan-rakan saya yang bekerja sebagai eksekutif kanan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
- Isu yang disentuh oleh saya mengenai GLC ini adalah isu yang dari dahulu sehingga kini mendapat tempat dalam kalangan orang Melayu dan kaum bumiputera.
- Selari dengan isu yang dibangkitkan, saya tertarik dengan berita yang mengatakan bahawa China sedang bercadang untuk menyusun semula pelaburan GLC-GLCnya. Diberitakan juga bahawa syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan Malaysia (GLIC) juga banyak membuat pelaburan di luar negara. Antaranya seperti Tabung Haji.
- Berita-berita mengenai GLC dan GLIC bukan sahaja menarik minat rakyat Malaysia tetapi juga rakyat negara-negara lain. Sudah semestinya banyak kajian akademik telah dibuat mengenai GLC dan GLIC di seluruh dunia.
- Sebenarnya sudah ada langkah untuk mentransformasikan GLC, tetapi sejauh manakah kesannya ke atas pembangunan dan kemajuan negara umumnya, dan ekonomi bumiputera, khususnya?
- Tindakan yang dibuat oleh China bertujuan untuk memperkukuhkan GLC tetapi pada masa yang sama kerajaan China masih menguasai kepentingan GLC. Acuan syarikat pelaburan Singapura dijadikan contoh. Adakah acuan yang sama perlu dilaksanakan oleh GLC Malaysia?
- Bagi saya, tidak semestinya menggunakan sepenuhnya acuan yang sama. Apa yang perlu dilakukan adalah dengan mengubahsuai acuan tersebut bertepatan dengan polisi untuk memajukan ekonomi bumiputera.
- Antara pendekatan yang boleh dilaksanakan adalah dengan meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan inovasi. Pendekatan ini sesuai untuk meningkatkan produk-produk terbaharu GLC bagi meningkatkan daya saing GLC di samping memastikan aset-aset GLC tidak terlepas ke tangan orang lain.
- Sememangnya ada antara GLC-GLC ini diintai oleh pihak-pihak tertentu, kalau tidak masakan ada pihak mengesyorkan agar syarikat berkeuntungan tinggi seperti Petronas disenaraikan di Bursa Malaysia. Tujuan mereka untuk menguasai kepentingan syarikat sebegini yang merupakan syarikat mega bertaraf dunia.
- Kerajaan perlu menumpukan kepada industri yang boleh menjana keuntungan tinggi di samping memberi impak besar kepada kepentingan ekonomi kaum bumiputera. Malangnya terdapat rungutan dalam kalangan eksekutif kanan GLC yang mengatakan bahawa GLC tidak boleh bersaing sepenuhnya kerana adanya 'tangan-tangan ajaib'.
- Akhirnya GLC kelihatan seperti tidak membantu kaum bumiputera, tetapi hanya membantu pihak-pihak yang 'terpilih' sahaja. Rungutan ini merupakan rahsia umum yang merupakan antara barah lama yang berlaku sejak dahulu lagi.
- Kerajaan perlu mengambil kira keluh-kesah ini kerana untuk menyalahkan sepenuhnya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) adalah satu tindakan yang tidak akan menyelesaikan isu GLC dan ekonomi bumiputera.
- Ramai antara mereka ini merupakan CEO-CEO yang hebat-hebat belaka, jika tidak masakan ada antara mereka sebaik sahaja tidak menjadi CEO-CEO GLC dilamar terus oleh syarikat-syarikat lain termasuklah syarikat luar negara. Sayang sekali kita kehilangan mereka.
- Jadi, tanggungjawab untuk memperkukuhkan ekonomi bumiputera bukan setakat terletak di bahu CEO-CEO sahaja tetapi juga melibatkan semua pihak terutamanya lapisan pentadbiran tertinggi GLC. Inilah keluh kesah yang dibawa oleh rakan-rakan saya dalam GLC dan luar GLC sebagaimana sudah menjadi rahsia umum kepada rakyat.
- Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan langkah pembangunan vendor agar mereka ini benar-benar berdaya saing. Vendor-vendor ini mestilah mereka yang benar-benar terbukti berkualiti atau sekurang-kurangnya mempunyai minat mendalam untuk berjaya dalam perniagaan. Tiada lagi vendor yang hanya mahukan keuntungan sekelip mata dengan bantuan kerajaan.
- Dengan kata lain, usahawan tulen yang berkualiti tinggi yang benar-benar berjiwa membantu ekonomi bumiputera perlu dikenal pasti. Kerajaan perlu memantau prestasi-prestasi vendor ini agar mereka ini benar-benar berada pada paras vendor berprestasi tinggi.
- Usah ambil mudah perkara ini kerana jika tidak ia boleh menjejaskan kualiti ekonomi dan perniagaan kaum bumiputera dan kesannya ekonomi bumiputera masih lagi di takuk yang sama. Bagi vendor-vendor yang tidak menunjukkan prestasi yang terbaik, kerajaan perlu menyantuni mereka dengan cara tidak merugikan ekonomi bumiputera.
- Ekonomi kaum bumiputera tidak akan ke mana jika masih ada lagi golongan yang inginkan keuntungan sekelip mata demi kepentingan peribadi. Ayat mudah, mahu cepat kaya! Maka, timbullah isu ketirisan di sana sini apabila ada di antara golongan 'terpilih' ini menjual atau menyewa lesen perniagaan kepada kaum lain dan warga negara asing.
- Sebab itulah Agenda Memperkasakan Ekonomi Bumiputera tidak boleh sesekali memandang sepi perkara ini.
- Kerajaan perlu melibatkan semua golongan kaum bumiputera terutamanya setiap institusi ekonomi bumiputera seperti GLC dan GLIC perlu bergerak dengan sistematik, menyusun semula strategi dan tumpukan sepenuhnya polisi membantu bumiputera tanpa meminggirkan keuntungan jangka masa panjang untuk negara. Tanganilah perkara ini sebelum terlambat.-- Rohami Shafie, Universiti Utara Malaysia
No comments:
Post a Comment