SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor telah mengeluarkan
tawaran akhir untuk membeli empat syarikat konsesi air negeri itu pada jumlah
RM9.65 bilion dalam satu surat tawaran yang dihantar kepada pengendali syarikat
berkenaan semalam.
Empat syarikat konsesi
tersebut adalah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, Konsortium Abbas Sdn
Bhd, Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd yang
meliputi industri air di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan
Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini, tawaran tersebut adalah hasil daripada
beberapa siri perbincangan antara kerajaan negeri dengan Kementerian Tenaga,
Tenaga Hijau dan Air (KeTTHA) demi kepentingan menubuhkan industri air secara
holistik di Selangor.
Menurut kenyataan
itu, surat tawaran yang dihantar menerusi anak syarikat kerajaan negeri iaitu
Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) perlu dijawab dalam masa 14 hari atau
selewat-lewatnya pukul 5 petang pada 4 Disember.
KDEB turut menetapkan
ekuiti keempat-empat syarikat konsesi air yang memberi pulangan sebanyak 12
peratus dikira sehingga 31 Disember 2012, tidak dikompaun dan dengan potongan
bagi mana-mana pembayaran dividen yang terdahulu, akan dibeli kerajaan negeri.
"Tawaran itu
juga menyatakan bahawa KDEB akan menyelesaikan semua hutang berkaitan air
tertunggak oleh empat syarikat termasuk bon dan pinjaman komersial serta
pinjaman kerajaan yang berkaitan," menurut kenyataan itu.
Menteri Besar
Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam kenyataan itu berkata jika pemegang
saham keempat-empat syarikat tersebut merasakan mereka berhak mendapat jumlah
lebih daripada yang ditawarkan, mereka boleh meminta perkara itu untuk dibawa
ke timbang tara antarabangsa.
Katanya ia boleh
memecahkan kebuntuan rundingan berikutan kerajaan negeri sudah bersedia dengan
rancangan pengambilalihan industri air tersebut.
"Tawaran yang
dibuat bersesuaian tatkala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan
Menteri KeTTHA Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menyatakan sokongan untuk
menyatukan industri air di negeri tersebut menerusi surat yang dihantar pada
Jun dan September lalu," katanya.
Abdul Khalid turut
berharap pemegang saham keempat-empat syarikat tersebut dapat menerima tawaran
yang dilihat akan memberi pulangan menguntungkan. - Bernama
No comments:
Post a Comment