Monday, 18 March 2013

GWGF agih projek kepada peneroka dan generasi baru Felda


Tan Sri Rozali Ismail mengagihkan projek GWGF kepada peneroka dan generasi baru Felda Pahang
Tan Sri Rozali Ismail
  • BERA, PAHANG: Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) mengagihkan semua projek menaik taraf bekalan air Pahang kepada kontraktor tempatan yang membabitkan keluarga peneroka dan generasi baru Felda.
  • Selepas NGO itu diberi kepercayaan penuh daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar GWGF menyempurnakan projek bernilai RM400 juta bagi menggantikan paip lama di Felda negeri itu, pertubuhan berkenaan melihat projek mega itu perlu dikongsi kepada semua anak peneroka Pahang.
  • Ini kerana anak peneroka Felda hari ini mampu mengendalikan pelbagai kegiatan bukan berasaskan pertanian, sebaliknya berkelayakan melaksanakan projek menaik taraf bekalan air menerusi pengantian paip lama di kawasan Felda masing-masing.
  • Pengerusi GWGF, Tan Sri Rozali Ismail berkata pihaknya sudah melantik ramai kontraktor di kalangan anak peneroka Felda yang berkemahiran bagi menjalankan kerja-kerja yang ditetapkan.
  • “InsyaAllah dengan kesungguhan dan komitment yang ditunjukkan oleh semua kontraktor yang dipilih, kita akan dapat menyiapkan kerja mengantikan paip lama di seluruh Felda di Pahang dalam tempoh enam bulan.
  • “Proses menaik taraf bekalan air di Felda negeri ini dijangka mengambil masa yang singkat dan diharapkan semua pihak dapat memberikan kerjasama,” katanya di pelancaran projek menaik taraf bekalan air Pahang di Felda Purun, baru-baru ini.
  • Majlis itu dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob. Turut  hadir ialah Timbalan Pengerusi GWGF Dato Abdullah Abu Bakar dan Setiausahanya Kamarulzaman Mohammed.
  • Tan Sri Rozali menjelaskan, dengan siapnya projek itu, masyarakat Felda dan luar bandar di Pahang tidak perlu bimbang dengan tekanan air yang rendah dan gangguan bekalan kerana semua paip lama yang berusia lebih 45 tahun itu akan digantikan dalam tempoh enam bulan.
  • Bagaimanapun beliau berharap semua ketua kampung, ketua blok dan jawatankuasa masing-masing perlu memberi kerjasama sepenuhnya terhadap projek ini agar ia dapat disempurnakan mengikut jadual yang ditetapkan.
  • “Janganlah ada ketua kampung atau pemimpin setempat cuba menyekat projek pembangunan itu kerana terpengaruh dengan hasutan pembangkang yang selama ini menyemai kebencian terhadap kerajaan,” katanya.
  • Beliau juga berkata, rakyat Pahang dan warga Felda seluruh negara wajar berterima kasih dan terus menyokong Perdana Menteri kerana beliau meneruskan perjuangan Allahyarham Tun Abdul Razak dalam membaiki taraf hidup warga peneroka Felda.
  • “Saya juga anak peneroka Felda, dilahir dan dibesarkan di Felda Gedangsa, Selangor. Saya rasa pelik ada orang sebut ramai peneroka Felda tidak mahu sokong Perdana Menteri.
  • “Saya tahu dan merasai bagaimana Felda berusaha menjaga kepentingan semua peneroka dan generasinya.
  • “Malah, ke mana saja saya melawat Felda di seluruh negara, saya dapati semua warga peneroka memberi sokongan padu terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri yang dikasihi,” jelas Tan Sri Rozali.
  • Bagi memastikan ukhwah di kalangan warga peneroka terus kukuh, beliau menyeru masyarakat Felda supaya sentiasa bersepakat dalam satu pasukan dan meneruskan agenda perjuangan ibu bapa yang bergelar peneroka.
  • Sementara itu pada sidang akhbar yang diadakan selepas majlis itu, Tan Sri Rozali menjelaskan pada keseluruhan projek menaik taraf bekalan air yang bernilai RM400 juta itu, ia diagihkan kepada tiga zon melibatkan Jerantut, Temerloh dan Raub (Zon 1); Bera dan Jengka (Zon 2); manakala Kuantan, Pekan dan Rompin berada dalam kelompok Zon 3.
  • Di Bera, sebanyak RM50 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan 13 pekej projek meliputi Felda Bukit Kepayang, Bukit Mendi, Mayam, Rentam, Sebertak, Tementi, Triang 1 dan 3, Tembangau 1, Mengkuang, Bukit Puchong dan Felda Purun. Di Jengka pula ia melibatkan Felda 1 hinga 25, Ulu Jempol dan Kampung Awah.
  • Projek ini meliputi kerja menggantikan paip lama yang berusia lebih 40 tahun di kawasan sejauh 450km. Tindakan segera Perdana Menteri dalam menyalurkan peruntukan ini membuktikan bahawa segala kesulitan penduduk luar bandar terutama di Felda mendapat perhatian serius daripada kerajaan pusat.
  • Ini juga bukti kerajaan BN tidak pernah berbohong dalam membela rakyat malahan segala janji telah ditunaikan biarpun ia dilakukan secara berperingkat-peringkat.
  • Selain itu, kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah rakyat serta menghulurkan pelbagai bantuan termasuk prasarana demi kesejahteraan rakyat.

3 comments:

  1. Macam nilah pemimpin yang dicari. Projek diagih sama adil kepada peneroka yang layak dan berpengalaman tanpa mengabaikan kualiti kerja yang dilaksanakan. Harap sikap seperti Tan Sri Rozali ini dapat ditiru dan dicontohi oleh mana2 tokoh pemimpin lain sekaligus membangunkan ekonomi Bumiputera seadilnya.

    ReplyDelete
  2. Bersyukur dengan nikmat dan kejayaan yang telah dikecapi Felda pada masa ini dan dengan adanya usahawan berjaya seperti Tan Sri Rozali yang sentiasa membantu untuk tingkatkan taraf ekonomi warga Felda makin majulah Felda

    ReplyDelete
  3. Diharap kontraktor-kontraktor Felda yang mendapat tender ganti paip-paip lama di Tanah Rancangan Felda Bera jalankan tugas dengan baik. Besar nilai RM50 juta tu, ni kalau dapat tender ke pembangkang habis di"Ali baba" kepada bangsa lain nasib baik dapat ke Tan Sri Rozali boleh diagih projek ini kepada peneroka dan kontraktor Felda.

    ReplyDelete