Thursday, 5 May 2011

Teori konspirasi Osama Laden masih hidup ungguli carta berita internet


1) NEW YORK: Teori konspirasi bahawa Osama bin Laden masih hidup mula tersebar sebaik saja Presiden Amerika Syarikat Barack Obama mengumumkan kejayaan membunuh pemimpin al-Qaeda itu.
2) Malah, ada keluarga mangsa serangan 11 September 2001 (9/11) di Amerika, turut mempersoalkannya.
3) Kerajaan Amerika memberitahu, Osama ditembak di kepalanya apabila pasukan elit tentera laut SEAL menyerbu laman rumah Osama di Abbotabad, Pakistan, sejak diburu sedekad lalu sebagai orang paling dikehendaki di dunia. 
4) Tetapi, pengebumian di Laut Arab dalam sebuah beg mayat dan keengganan pihak berkuasa menyiarkan gambar mayatnya mengundang kecurigaan.
5)  Satu yang kerap diutarakan ialah Osama sebenarnya adalah anggota Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang sudah mati beberapa tahun lalu, tokoh rekaan yang digunakan untuk mewajarkan perang Amerika di Afghanistan.
6)  Pandangan itu dikongsi bersama aktivis anti perang Amerika, Cindy Sheehan dan orang lain dari Indiana hingga ke Kabul.  
7) “Jika kamu percaya kematian terkini OBL (Osama bin Laden), kamu bodoh,” tulis Sheehan dalam halaman Facebook.
8)  Sheehan, yang membina khemah sebagai protes anti perang dekat kediaman Presiden George W. Bush di Texas pada 2005 mempertikaikan fakta diberikan kerajaan.
9)  Beliau mempersoalkan bagaimana Amerika boleh dapat keputusan DNA Osama begitu cepat, mengapa pengebumian dilakukan dengan tergesa-gesa dan mengapa video mayat tidak disiarkan.
10) Sheehan juga merujuk kepada kenyataan bekas Presiden Pakistan, Benazir Bhutto yang mendakwa pada 2007 bahawa Osama sudah mati. Dia tidak keseorangan mempersoalkan perkara itu.
11) Laman internet Yahoo juga mendapati pencarian bagi ‘Osama bin Laden not dead,’ ‘Osama bin Laden still alive’ dan ‘bin laden not dead’ mengungguli carta berita pada Isnin lalu.
12) Ramai yang memikirkan Osama masih hidup, kata Yahoo, sambil menambah bahawa pencarian ‘bin laden conspiracy’ adalah paling banyak di kawasan Oregon, Wisconsin, Carolina Utara, Indiana dan New Jersey.
13) Di Iran, agensi berita separuh rasmi Mehr mengisytiharkan: “Kematian Osama adalah satu penipuan.” 
14) Berita televisyen Iran menyatakan, mengebumikan mayat di laut menambahkan lagi misteri (kematian Osama).
15) Media Iran juga berpendapat, mitos Osama digunakan untuk mewajarkan pendudukan Amerika di negara jiran, Afghanistan. 



16) Hampir 3,000 orang mati apabila pesawat yang ditawan pengikut Osama bin Laden terbang merempuh Pusat Dagangan Dunia (WTC), Pentagon dan sebuah padang di Pennsylvania pada 11 September 2001, mewujudkan satu buruan terhadap perancang serangan terbabit.
17) Taliban di Afghanistan dalam satu kenyataan disiarkan melalui halaman web mereka berkata bahawa perbincangan mengenai kematian Osama adalah tidak matang dan Amerika Syarikat tidak memberikan bukti yang meyakinkan.
18) Sesetengah penduduk Amerika Syarikat masih percayakan kepada teori konspirasi. Siapa sebenarnya menembak Presiden John F. Kennedy? Elvis Presley masih hidup! Adakah UFO mendarat di Roswell, New Mexico? Adakah 11 September direka oleh kepentingan Amerika untuk mewajarkan perang mereka di Afghanistan dan Iraq?
19) Di Ground Zero, New York lokasi dua menara berkembar pernah berdiri, kebanyakan masih lagi mempertikaikan adalah kematian Osama sesuatu yang baik dan benar.
20) “Saya benar-benar harap kita sudah hapuskan beliau. Mereka kebumikannya di laut. Siapa tahu apa sebenarnya berlaku,” kata pengurus projek, Sal Leto, 59. 

No comments:

Post a Comment