KUALA LUMPUR: Perlantikan Dr
Mohammed Emir Mavani Abdullah sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)
FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) baru-baru ini menjadi tanda tanya
peneroka dan warga FELDA.
Apakah masa depan mereka akan
lebih baik menerusi FGV atau mereka akan berdepan dengan pelbagai kejutan
termasuk kejatuhan saham.
Jelasnya Mohammed Emir bakal
menggantikan CEO dan presiden kumpulan itu, Datuk Sabri Ahmad yang akan
menamatkan kontraknya pada 15 Julai depan.
FGV menerusi pengumuman Bursa
Malaysia baru-baru ini menjelaskan, pelantikan Mohammed Emir bertujuan
melicinkan proses pertukaran tampuk pengurusan syarikat itu.
Beliau sebelum ini pernah
berkhidmat sebagai Penasihat Menteri Kewangan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan
kini merupakan Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Nuclear Power Corporation dan
Malaysia Petroleum Resource Corporation.
Umumnya perlantikan itu
menandakan era kepimpinan Sabri dalam FGV pasti tamat dan tidak mungkin
kontraknya disambung kerana penggantinya sudahpun masuk pejabat dan sedang
menyusun pelbagai rancangan baru.
Peneroka dan warga FELDA di 317
rancangan seluruh negara kini tertanya-tanya mengapa Mohammed Emir masuk FGV
sebegitu cepat seolah-olah Sabri sudah tidak sabar-sabar mahu keluar dari
kumpulan petani sawit dan getah.
Pelbagai persolan kini berada di
benak minda peneroka. Saban hari peneroka berbincang mengenainya samada di
kedai kopi, pejabat, kebun sawit, surau, masjid mahupun berborak di depan rumah
waktu petang.
Mereka bertanya apakah Sabri
undur diri kerana gagal mencapai matlamat FGV untuk menerajui industri
pertanian terkemuka di dunia?
Atau beliau mahu keluar padang
selepas bosnya, Tan Sri Mohd Isa Samad tamat kontrak sebagai pengerusi FELDA
pada 31 Disember lalu dan kemudiannya mahkamah membatalkan keahliannya sebagai
ahli Koperasi Permodalan FELDA (KPF).
Dalam sembang kedai kopi,
peneroka lebih tertarik hubungan istimewa di antara Sabri dan Mohd Isa yang
berjuang sepanjang dua tahun lalu untuk memastikan Pengerusi FELDA terus
bertahan dalam agensi pertanian itu selama mungkin dalam apa bentuk dan
keadaan.
Memang benar penyenaraian saham
FGV membawa banyak manfaat kepada warga FELDA, orang Melayu, negara dan juga
memacu ekonomi Malaysia ke hadapan.
FELDA yang diwujudkan di bawah
perhatian dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kini sedang menempuh era pembangunan
berteknologi tinggi dan FGV diharapkan menjadi tunjang tranformasi agar Wawasan
2020 menjadi realiti dengan menjaga kepentingan bangsa Melayu secara strategik
dan menyeluruh.
Sebelum FGV disenaraikan di Bursa
Malaysia, Sabri berjanji pihaknya akan menentukan masa depan lebih baik kepada
warga FELDA. Malangnya hingga kini saham FGVH masih berada di paras rendah dan
tidak meyakinkan.
Pada masa sama belum ada satupun
pelaburan FGV di luar negara yang berjaya mengembalikan semula modal dan
selanjutnya mencatat keuntungan.
Jika perkara ini dibiarkan
berterusan tanpa sebarang usaha, ia akan menimbulkan pelbagai spekulasi negatif
sehingga memburukkan nama baiknya sendiri sebagai CEO syarikat bertaraf global.
Hal ini menjadi lebih rumit
ekoran terdapat laporan beliau sudah mempunyai rekod buruk sebagai CEO Golden
Plantation Bhd di atas skandal kerugian sebanyak RM120 juta. Beliau didapati
bersalah oleh Sime Darby melalui siasatan forensik audit KPMG dan didapati
terlibat dalam skandal Golden Jomalina Food Industries.
Selama beliau menggalas
tanggungjawab sebagai ketua di FGV, tiada perubahan menarik ditunjukkan kepada
masyarakat FELDA. Oleh itu, beliau boleh dikatakan gagal meyakinkan masyarakat
FELDA terhadap FGV. Tanggungjawab beliau terhadap peneroka masih belum
tertunai.
Tahun 2013 sudah bermula dan
Sabri berjanji mahu untuk memperluaskan
bank tanah FELDA, meningkatkan produktiviti dan meningkatkan kualiti aset
melalui program pembangunan lapan tahun, bermula tahun ini.
Dalam perancangan itu, FGV mahu
mengembangkan perniagaan dan aktiviti perladangan kelapa sawit ke barat Afrika
dan ASEAN. Pihaknya menyasarkan perolehan FGV berkembang lapan kali ganda
sepanjang tempoh pembangunan tersebut.
Semoga rancangan beliau untuk
menjadikan FGV lebih dinamik pada tahun 2020 dapat diteruskan oleh Mohammed
Emir dengan cemerlang.
Selepas Sabri meninggalkan ‘luka’
di hati peneroka FELDA, apakah CEO baru boleh melonjakkan harga saham FGV serta
membawa pulangan modal kepada masyarakat FELDA? Sama-sama kita tunggu dan
lihat.